m
Pasangan Kembar Siam Paling Lama Hidup Di Dunia
COLUMBUS, Amerika Syarikat – Sepasang kembar lelaki diiktiraf sebagai kembar Siam paling lama hidup di dunia apabila mereka menyambut ulang tahun kelahiran ke-63 pada 28 Oktober lalu.
Pasangan kembar Siam tersebut, Ronnie dan Donnie Gaylon dilahirkan dengan bahagian perut yang bercantum. Kembar Ronnie dan Donnie mempunyai empat kaki, empat tangan. Bagaimanapun jantung dan sistem pencernaan mereka berasingan.
Mereka yang dilahirkan pada tahun 1951 terpaksa tinggal di hospital selama dua tahun. Namun, rancangan doktor untuk memisahkan mereka melalui pembedahan dihalang oleh ibu bapanya yang bimbang pembedahan tersebut gagal.
“Keputusan ibu bapa kami untuk tidak memisahkan kami ternyata tepat kerana kami masih hidup sehingga ke hari ini,” kata Ronnie.
Sebagai meraikan ulang tahun kelahiran mereka, pasangan kembar itu dibawa melawat Taman Tema Disney World dan Taman Busch di Florida.
Rekod pasangan kembar Siam paling lama hidup sebelum ini dipegang oleh pasangan kembar Siam dari Itali, Giacomo dan Giovanni Battista Tocci yang lahir pada tahun 1877 dan meninggal dunia pada usia 63 tahun.
Sumber : Agensi