KUALA LUMPUR 2 Jan. - Strategi ‘jihad digital’ yang dilancarkan kumpulan militan Negara Islam (IS) sejak lebih setahun lalu telah menarik ribuan anak muda dari seluruh dunia untuk menyertai perjuangan mereka di negara bergolak di Asia Barat.
Tempias rancangan itu turut memberi kesan kepada masyarakat di Malaysia apabila ratusan rakaman video tentang perjuangan IS khususnya di YouTube dapat disaksikan secara mudah oleh sesiapa sahaja.
Lebih membimbangkan, sebahagian anak muda di negara ini dikesan bukan sahaja terpengaruh dengan dakyah dan propaganda IS itu malah turut melakukan perkara di luar jangkaan seperti berkahwin dengan anggota militan di negara bergolak terbabit melalui online.
Perkara itu dikesan berlaku terhadap seorang bekas penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mengakui telah bernikah dengan seorang anggota lelaki kumpulan IS warganegara Maghribi melalui aplikasi komunikasi video Skype, bulan lalu.
Gadis berusia 27 tahun itu terpengaruh dengan video propaganda yang ditayangkan di Youtube dan kemudian jatuh cinta dengan seorang anggota IS yang hanya dikenalinya melalui laman sosial Facebook, yang berjaya mempengaruhinya untuk bernikah secara alam maya sahaja.
Bukan sahaja berkahwin secara online, gadis berasal dari Negeri Sembilan itu juga nekad untuk ke Syria bagi menyertai perjuangan ‘suaminya’ yang dikatakan sedang memerangi tentera Bashar al-Assad.
Gadis itu antara dua individu yang berjaya ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman kerana disyaki merancang untuk menyertai perjuangan kumpulan IS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 dan 28 Disember lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan, gadis berkenaan serta seorang pelajar lelaki dari universiti awam telah terpengaruh untuk menyertai IS apabila menonton video propaganda yang disiarkan di YouTube.
“Gadis itu ditangkap pada 24 Disember lalu dan hasil siasatan mendapati, dia telah berkenalan dengan seorang anggota IS selepas berinteraksi melalui Facebook sejak pertengahan November lalu.
“Dia kemudian berkahwin dengan anggota IS pada pertengahan bulan lalu, hanya melalui Skype dan kemudian mahu ke Syria setelah dipujuk lelaki tersebut.
“Manakala lelaki berusia 22 tahun yang berasal dari Terengganu itu dikesan turut berkomunikasi dengan beberapa rakyat Malaysia yang berada di Syria melalui Facebook. Dia ditahan di KLIA pada 28 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Utusan Malaysia difahamkan, jika suspek lelaki itu berjaya membolosi negara Syria, nasibnya berkemungkinan sama dengan pekerja kilang, Ahmad Tarmimi Maliki, 26, serta Ahmad Affendi Abdull Manaff, 27, yang maut akibat serangan bunuh diri tahun lalu.
Ini kerana, kata Khalid, mengikut siasatan lelaki yang ditahan itu dalam perancangan untuk terlibat dalam serangan bunuh diri di Syria.
Ujarnya, kedua-dua suspek yang ditangkap itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574).
“Mereka juga akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.